mutakhir

Peluru sana sini

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: “Kenangan paling tidak boleh dilupakan apabila kami diserbu pengganas komunis. Saya terjun dari lori dan masuk ke dalam longkang sedalam sembilan meter.

“Alhamdulillah, saya tidak cedera, tetapi ada beberapa rakan cedera, mana tidaknya, peluru dilepaskan di sana sini,” kata Saniman Markom, 70, antara penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Menyaksikan sendiri tembakan dan peluru bertaburan, ketika itu dia berkhidmat sebagai anggota polis bersama Pasukan Pasukan Polis Hutan (PPH) antara 1974 hingga 1985.

Saniman yang bersara pada 2003 dengan pangkat Sub Inspektor berkata, pelbagai kenangan dan cabaran ditempuh sepanjang berkhidmat dalam PDRM, membuatkannya lebih bersemangat mencurah bakti kepada negara.

Ditemani isterinya, Hasnah Ahmad, 59, pada majlis berkenaan, bapa lapan anak perempuan itu menzahirkan rasa syukur apabila dipilih menerima pingat berkenaan, sekali gus merasakan khidmat baktinya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 36 tahun dihargai.

Berasal dari Batu Pahat, Johor, Saniman berharap golongan muda yang baru dan berminat menyertai PDRM bekerja bersungguh-sungguh, ikhlas dan menjaga nama baik serta imej PDRM.

“Zaman sekarang yang muda mudah naik pangkat, gaji lepas tamat rekrut pun boleh beli kereta, jadi bekerjalah dengan baik,” katanya yang kudung kaki kanan akibat kencing manis, dua bulan lalu.

Pada majlis berkenaan, seramai 400 pegawai, anggota dan pesara polis Kontinjen Johor menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara ketika darurat.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 11:30am
d