mutakhir

3 September jadi penentu [METROTV]

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Siti Sofia Md Nasir

MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang memberikan masa sehingga 3 September ini kepada Pejabat Peguam Negara sama ada untuk menggugurkan tuduhan atau meneruskan perbicaraan kes rasuah dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

“Pendakwaan sila ambil perhatian, mesti ada full stop jawapan untuk representasi... 3 September ini adalah tarikh akhir,” kata Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail pada prosiding sebutan kes itu.

Terdahulu, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng memberitahu mahkamah, pihaknya mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara pada 6 Julai lalu.

Ramkarpal berkata, beliau dimaklumkan jabatan itu memerlukan masa selama sebulan untuk menimbangkan representasi berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Daud kemudian mengesahkan pihaknya menerima representasi daripada peguam kedua-dua tertuduh untuk menarik balik tuduhan terhadap mereka.

“Kami memohon masa sebulan untuk menimbangkan representasi ini,” katanya.

Dalam prosiding itu, peguam V Sithambaram yang mewakili Li Koon tidak membantah permohonan Pejabat Peguam Negara yang memerlukan masa untuk menjawab representasi terbabit.

Sementara itu, Guan Eng tidak hadir dalam prosiding berkenaan.

Selepas prosiding, Ramkarpal yang ditanya pemberita mengapa representasi mengambil masa sebulan untuk diputuskan, berkata ia adalah prosedur dalaman Pejabat Peguam Negara dan beliau tidak boleh menjawab bagi mewakili jabatan itu.

Beliau berkata, representasi dikemukakan pihaknya adalah komprehensif dan Pejabat Peguam Negara memerlukan masa untuk membuat keputusan.

Ramkarpal turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kes kontroversi itu bakal digugurkan melalui proses representasi terbabit.

“Sepanjang yang saya tahu, ia adalah tidak benar, tetapi kami memohon Pejabat Peguam Negara untuk menarik balik tuduhan ini...apa yang saya tahu tiada sebarang petanda berhubung perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Sithambaram berkata, antara dokumen dikemukakan pihaknya melalui representasi itu adalah laporan pakar dan laporan penilaian.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Georgetown, di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 11:47am
d