mutakhir

Syukur, dah selamat balik...[METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

HANYA ucapan kesyukuran mampu diucapkan lima pendaki rakyat Malaysia yang selamat tiba ke tanah air, hari ini selepas terperangkap dalam kejadian gempa bumi di Lombok Timur, Indonesia.

Seorang pendaki berkenaan, Siti Hidayah Zainuddin, 38, berkata, ketika kejadian, ahli kumpulannya seramai 20 orang sedang menyusun beg sebelum memulakan pendakian Gunung Rinjani di pulau berkenaan.

Menurutnya, ahli kumpulannya dijadualkan mendaki gunung berkenaan pada 7 pagi waktu tempatan, namun pada 6.57 pagi, dia terasa satu gegaran begitu kuat.

“Kami panik dan tidak tahu nak buat apa, tanah bergoyang dan ketika itu, berlaku gegaran kedua.

“Tidak tahu nak fikir apa kerana pada masa itu, semua ahli kumpulan sudah bersiap, kami cuma hanya beberapa minit sahaja untuk bergerak ke tempat pendakian,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, sebaik tiba dari Lombok, hari ini.

Semua lima pendaki berkenaan selamat tiba di klia2 dengan penerbangan AirAsia AK305 pada 1.33 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok pada 10.20 pagi.

Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter itu menggegarkan wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pada 5.47 pagi semalam menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggalkan kediaman dan bangunan.

Kejadian itu turut mengorbankan seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Iesmawida Ismail, 30, yang selesai menamatkan misi pendakian ke Gunung Rinjani akibat ditimpa runtuhan bangunan di lokasi penginapannya.

Siti Hidayah berkata, penduduk tempatan mendakwa kejadian itu adalah gempa bumi pertama berlaku di kaki Gunung Rinjani.

“Sebelum ini, gempa bumi berlaku di kawasan lain dan itu yang pertama berlaku di kawasan berkenaan.

“Dekat kaki gunung ada dua kawasan pengumpulan, bagi kumpulan yang sudah mendaki, mereka akan berkumpul di Sembalun manakala yang baru mendaki iaitu tempat berkumpul untuk kumpulan kami pula terletak di Senaru.

“Jarak kedua-dua lokasi ini kira-kira 50 minit. Punca gegaran berlaku di Sembalun.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak terutama penduduk kampung, sukarelawan, penganjur, polis dari kedua-dua negara, pihak kedutaan, AirAsia dan kerajaan yang banyak membantu kami ketika di sana,” katanya.

Beliau berkata, penduduk kampung bersama-sama memasak untuk mereka dan memastikan dalam keadaan selamat walaupun rumah penduduk ada yang musnah.

“Ketika kami tidak ada jalan keluar kerana laluan utama iaitu jambatan dipenuhi batu, merekalah bersama-sama mengangkat batu berkenaan dan memudahkan perjalanan kami,” katanya.

Berita berkaitan

'Terbang' ke Lombok, sambut jenazah isteri

'Mudahkan urusan bawa balik jenazah isteri saya'

'[UPDATE] Tiga korban gempa bumi Lombok'

'Lombok bergegar !'

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 4:14pm
d