mutakhir

Jel, denda cuba rasuah penjawat awam

Oleh Petah Wazzan Iskandar

TIGA lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba merasuah pegawai kerajaan yang sedang melakukan tugas rasmi.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibaca secara berasingan dalam bahasa Hokkien mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut kertas pertuduhan, Tan Kok Aun, 43, dan Loo Jiunn Shyan, 27, didakwa melakukan kesalahan cuba memberi suapan kepada Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Nasruddin Abdul Rahman di premis hiburan Twenty 6, di Kampung Berjaya, pada 1.15 pagi 27 Februari lalu.

Tan yang bekerja sebagai subkontrator binaan didakwa cuba memberi suapan sebanyak RM1,000 untuk tidak menjalankan saringan air kencing mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Manakala Loo yang bekerja sebagai penjual telefon bimbit pula didakwa cuba merasuah RM1,100 untuk melepaskan isterinya, Shirneen Goh yang disyaki positif dadah selepas menjalani saringan air kencing mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Tertuduh ketiga, Ooi See Gee, 49, yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa cuba merasuah Pembantu Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Kamal Reza Kamal Pasha sebanyak RM1,200 supaya tidak mengambil tindakan ke atas dirinya kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang tanpa lesen.

Ooi didakwa melakukan kesalahan di Lot 36, Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam pada 11.45 pagi 20 November 2014.

Ketiga-tiga mereka yang didakwa mengikut Seksyen 17(b) SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa SPRM, Sharul Khuzaini Amiruddin manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 6:17pm
d