mutakhir

16 tuduhan terima rasuah

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

JURUTERA dihukum penjara enam tahun dan denda RM236,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas 16 pertuduhan terima rasuah pada 2016.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Asrul Hisyam Setapa, 32, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes.

Tertuduh yang bertugas sebagai jurutera perancang dan pembinaan didakwa menerima suapan dalam bentuk wang tunai dan pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, pasir, papan lapis dan simen membabitkan nilai RM40,248 antara 5 April hingga 22 Ogos 2016.

Dia menerima suapan itu daripada Pengurus Syarikat HD Jaya Trading Sdn Bhd, Lukmanilhakim Hamid dan Pengurus Syarikat Che Man Mahmood, Fauzi Che Man sebagai upah mencadangkan dua syarikat terbabit untuk projek.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shahidah Muslimah Roslan manakala, tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Bagi pertuduhan pertama sehingga 12, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap kes dan dibenarkan berlangsung serentak bermula tarikh jatuh hukum.

Manakala, untuk pertuduhan ke-13 hingga 16, dia dikenakan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap kes dengan hukuman berlangsung serentak, selepas hukuman pertama selesai.

Seramai 44 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan itu dan tiga saksi daripada pihak pembelaan.

Terdahulu, Azrul Zulkfli memohon hukuman penjara minimum dan dijalankan serentak mengambil kira ia kesalahan pertama anak guamnya selain tertuduh mempunyai dua anak masih kecil dan perlu menyara keluarga mentua.

Azrul Zulkifli turut memohon penangguhan hukuman sehingga kes berkenaan selesai di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Shahidah Muslimah memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana ia membabitkan kepentingan awam selain mencegah masyarakat lain daripada melakukan kesalahan sama.

“Tertuduh diamanahkan supaya menjalankan tugas beliau dengan baik, namun tertuduh menyalah guna kuasa dengan menerima rasuah,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan dikenakan jaminan RM25,000.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 7:26pm
d