mutakhir

Jangan cuba ubah sejarah negara - UMNO

Oleh Rohaniza Idris

UMNO menentang sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak mahu menghidupkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) di negara ini.

Setiausaha Agungnya Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan berkenaan hanya akan membangkitkan api kemarahan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Katanya, pada masa sama tindakan itu akan berbahaya kepada sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Tindakan itu juga bahaya kepada sistem Raja Berperlembagaan di negara ini dan UMNO tidak boleh bertolenrasi dengan perkara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan aktivis masyarakat Fadiah Nadwa Fikri yang menggesa kerajaan untuk menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan oleh golongan berhaluan kiri termasuk PKM.

Annuar berkata, kerajaan diminta mengambil tindakan tegas dan tidak berdiam diri dengan menyatakan perkara itu adalah kebebasan untuk bersuara.

Katanya, UMNO tidak akan berdiam diri terutama dalam usaha menukar fakta sejarah ini.

“Memang betul PKM menentang Jepun bersama dengan Parti Perikatan, tetapi mereka tidak mahu merdeka mengikut cara yang diinginkan sebaliknya mahu mengambil tindakan bersenjata.

“PKM ketika itu mahu menjadikan Malaya sebagai sebuah republik dan perkara itu ditentang Parti Perikatan. Ini fakta yang sebenar, jangan hendak mengubah sejarah... apa tujuan pun saya tidak tahu,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Annuar berkata, tindakan Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran menyatakan orang Melayu adalah pendatang sebagai biadap.

“Saya berani untuk berbahas fakta sejarah ini, jangan cuba hendak mengubah fakta dan cubaan ‘testing the water’. Ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 8:20pm
d