mutakhir

Malaysia kecam tindakan rejim Zionis

Oleh Nadia Hamid

MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera laut Israel yang menahan kapal Al-Awda dan menculik 22 aktivis termasuk aktivis tunggal Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, Ahad lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan menahan kapal Al-Awda milik Freedom Flotilla Coalition bersama anak kapalnya di perairan antarabangsa adalah satu tindakan penculikan dan melanun.

“Malaysia menuntut supaya Israel menjamin keselamatan semua aktivis dan anak kapal Al-Awda serta membebaskan mereka dengan serta merta,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersama Malaysia mengecam tindakan Israel serta menuntut hentikan segala sekatan punitif dan kolektif ke atas Gaza.

Beliau berkata, isu kemanusiaan yang semakin meruncing di semenanjung Gaza memerlukan perhatian khusus masyarakat antarabangsa.

“Perbuatan menyekat bantuan kepada rakyat Palestin secara jelas bercanggah dengan norma-norma kemanusiaan dan prinsip keadilan sosial.

“Aktivis di atas kapal Al-Awda adalah aktivis kemanusiaan yang belayar secara aman tanpa sebarang provokasi,” katanya.

Kapal Al-Awda belayar sejak 22 Mei lalu bermula dari Copenhagen, Denmark dengan misi ‘Just Future for Palestine 2018’, yang difahamkan membawa 13 rakyat Malaysia secara bergilir-gilir.

Kapal itu dalam misi menghantar 116 kotak bekalan ubatan bernilai hampir RM62,000 disebabkan keadaan yang begitu kritikal.

Awal pagi tadi, Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, mengesahkan kapal misi kemanusiaan itu diculik tentera laut rejim Zionis pada jam 7.15 petang waktu Malaysia di perairan antarabangsa.

Bagaimanapun, dilaporkan anak kapal Al-Awda ketika ini berada dalam keadaan selamat dan kapal mereka ditunda di Pelabuhan Ashdod.

Difahamkan, kapal Al-Awda terputus hubungan komunikasi dengan pihak media Freedom Flotilla Coalition sejak Ahad lalu.

Laporan terakhir diterima daripada radio kapal itu mendapati empat kapal perang Israel dikatakan mendekati kapal berkenaan pada kedudukan kurang 49 batu nautika dari Gaza.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 11:50pm
d