mutakhir

'Langkawi Grown' dapat sambutan hangat

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Rambutan ‘Langkawi Grown’ yang dihasilkan petani di sini, mendapat sambutan hangat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak berkata, ia terbukti apabila pemborong negara itu memohon bekalan tambahan.

“FAMA sudah menghantar tiga tan rambutan klon R191 atau dikenali ‘Langkawi Grown’ untuk pasaran Dubai selain pasaran tradisi ke Singapura dan China.

“Dalam tempoh singkat, kita terima pesanan ulangan kedua dan ketiga, sekali gus menunjukkan rambutan kita disukai pembeli di Dubai,” katanya selepas melancarkan Jualan Khas Rambutan Klon R191 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah FAMA Kedah Anuar Mohamed dan Pengarah FAMA Perlis Paisal Amri.

Ahmad berkata, klon rambutan ‘Langkawi Grown’ yang ditanam di Ladang Kontrak Kampung Kubang Badak di sini, mempunyai beberapa kelebihan dan sesuai untuk dieksport ke luar negara.

“Selain mempunyai ketahanan, klon rambutan itu mempunyai rasa yang manis dan isinya lembut serta ia dieksport dalam kotak khas bagi menjamin ketahanannya.

“Di Malaysia, rambutan ‘Langkawi Grown’ turut dipromosi sejak tiga tahun lalu dengan menempatkan kiosk di lapangan terbang dan pusat pelancongan,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 11:16am
d