mutakhir

Kempen makin hangat

Oleh Syed Umar Ariff

Shah Alam: Pertembungan menawan Sungai Kandis tidaklah sehebat perbahasan antara penggubal dasar di Parlimen.

Namun, berbaki empat hari berkempen sebelum hari mengundi Sabtu ini, keadaan sedikit membara dan panas apabila isu ditimbulkan bertukar kontroversi, kehadiran penentu utama berkopiah dan beberapa kejanggalan mewarnai usaha calon meraih undi.

Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan seteru utamanya, Datuk Lokman Noor Adam dari Barisan Nasional (BN) kini cuba menunjukkan isu apa yang menjadi keutamaan penduduk tempatan.

Kempen Mohd Zawawi tetap mengenai memperbaiki keadaan kemudahan awam yang menyedihkan, sistem perparitan dan menangani masalah sosial.

Pengetua maahad tahfiz itu anak tempatan, justeru tidak hairan mengapa keadaan setempat menjadi fokus utamanya.

Bagi Lokman pula, beliau percaya isu mengenai Islam dan Melayu mampu menarik tumpuan dimahukannya daripada pengundi konservatif termasuk sudah tentu, PAS, yang kelihatannya sudah berjaya ditawan buat masa ini.

Semalam, beliau kelihatan berusaha mendekati masyarakat India di Kampung Jawa dengan dibantu Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarraajh.

Bersama-sama mereka pergi rumah ke rumah, dan bertemu satu keluarga yang terpinga-pinga dengan lawatan itu.

Bagaimanapun, Sivarraajh, berjaya mengurangkan rasa tidak selesa atau kejanggalan dengan memberi penerangan, dalam bahasa Tamil, bahawa kehadiran mereka untuk memperkenalkan Lokman sebagai bakal wakil rakyat mereka.

pqc

Lokman kemudian menyatakan kemungkinan BN mampu menawan 50 peratus undi daripada masyarakat India, berdasarkan kepada lawatan itu, selain mendakwa mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan membabitkan beberapa isu.

Keyakinan Lokman terhadap pemerhatiannya itu, sememangnya mengagumkan.

Di pihak satu lagi, Mohd Zawawi bergelut dengan hakikat kepemimpinan PAS menghulurkan sokongan mereka kepada BN.

Beliau terus yakin bahawa penyokong PAS masih mahu memberikan undi mereka kepadanya, walaupun beliau juga tidaklah kelihatan begitu selesa dengan isu itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berkunjung semalam seperti memberi jaminan bahawa sokongan PAS kepada BN tidak akan memberi kesan kepada kelancaran kempen PKR mempertahankan kerusi Sungai Kandis.

Namun, sehingga kini, calon Bebas, K Murthy masih lagi tidak kelihatan sejak hari penamaan calon lebih seminggu lalu.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 11:36am
d