mutakhir

Kenang jasa perwira negara

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Tanggal 31 Julai setiap tahun menjadi tarikh keramat bagi meraikan pengorbanan perajurit negara yang berjuang demi tanah air dengan mengadakan sambutan Hari Pahlawan.

Kerajaan mengisytiharkan tarikh itu sebagai menandakan tamatnya darurat pada 1960.

Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, PVATM wujud sejak 1922 sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang membela nasib veteran perajurit negara.

“Kempen Tabung Pahlawan (KTP) dilaksanakan pada 1950 oleh Ex Service Association of Malaya (Persatuan Bekas Tentera Malaya) pada ketika itu di bawah teraju bekas Tentera British di Malaya.

“KTP pada awalnya dikenali sebagai Poppy Day sebelum ditukar kepada Rayuan Hari Pahlawan selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957 di mana lambang bunga Poppy ditukar kepada Bunga Raya manakala kerajaan melantik dan mengiktiraf PVATM sebagai kastodian Tabung Pahlawan sejak dari 1950,” katanya dalam wawancara khas bersama Harian Metro.

Menurutnya, pada 2013, Tabung Pahlawan menjalani proses penjenamaan semula di mana nama Rayuan Hari Pahlawan ditukar kepada ‘Kempen Tabung Pahlawan’ dan beberapa pendekatan dan kaedah bahru diperkenalkan untuk meningkatkan jumlah kutipan, di samping memberi kesedaran kepada orang awam betapa perlunya mereka memberi sumbangan sebagai tanda mengingati dan menghargai perjuangan dan pengorbanan Veteran ATM dalam menentang serta menghapuskan pengganas komunis ketika era Darurat I (1948-1960) dan Darurat II (1968-1989).

“Bermula 2013, hasil kutipan sumbangan ditumpukan sepenuhnya kepada perbelanjaan aktiviti kebajikan khusus kepada pesara dan bekas tentera yang pernah berkhidmat di bawah Kementerian Pertahanan.

“Selain itu, bantuan kebajikan RM500 diberikan kepada Veteran Kelainan Upaya (VKU) dan veteran menghidap penyakit kronik yang terlantar di katil di mana jumlah keseluruhannya yang sudah kita salurkan seramai 4,198 orang.

“Melalui kutipan itu juga, elaun sara hidup bulanan sebanyak RM300 diberikan kepada veteran dan balu yang daif. Tidak ketinggalan, bantuan segera dalam bentuk wang tunai turut diberikan kepada veteran dan balu yang terbabit dalam musibah serta bencana alam seperti banjir, ribut taufan dan kebakaran,” katanya.

Menurutnya, VKU dan balu yang cacat turut menerima peralatan perubatan seperti tongkat dan kerusi roda.

“Selain itu, bagi penyumbang derma kepada Tabung Pahlawan dikecualikan dari cukai pendapatan sejak 1950 dan hasil kutipan dibelanjakan secara telus dan berhemah, malah akaunnya diaudit oleh Juru Audit Bertauliah setiap tahun dan laporan audit dimajukan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengeluarkan kelulusan pelepasan cukai.

“Sumbangan walau sekecil manapun, namun besar pengertiannya dapat diterjemahkan sebagai penghargaan kepada veteran ATM yang berkorban tenaga, keringat dan darah dalam menjaga dan mengekalkan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara dari ancaman musuh,” katanya.

Mohd Anwar berkata, tahun ini kutipan derma Tabung Pahlawan dilaksanakan oleh PVATM bermula 31 Julai sehingga 31 Disember dengan sasaran kutipan RM5 juta.

“PVATM diberi mandat melaksanakan kutipan dengan permit dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Katanya, pihaknya ingin menjelaskan terdapat perbezaan antara PVATM dan JHEV iaitu PVATM bertindak sebagai NGO berdaftar bawah Akta Veteran 2012, di mana JHEV berperanan sebagai pendaftar.

“PVATM pula memberi bantuan kepada ahli persatuan menggunakan hasil kutipan Kempen Tabung Pahlawan, manakala JHEV sebuah jabatan bawah Kementerian Pertahanan bertanggungjawab hal ehwal veteran dan mendapatkan peruntukkan tahunan daripada kerajaan bagi melaksanakan aktiviti ditetapkan.

“Asalkan individu berkenaan pernah berkhidmat dalam tentera, kita ambil sebagai ahli walaupun mempunyai rekod disiplin. Kita juga berperanan sebagai NGO membantu ahli sebelum memaklumkan kepada JHEV untuk tindakan selanjutnya seperti bantuan atau skim yang disediakan haruslah dimohon sendiri oleh veteran kerana bantuan bukannya diserahkan secara automatik selepas tamat perkhidmatan dalam ATM, manakala JHEV pula jabatan yang berperanan menguruskan kebajikan veteran ATM,” katanya.

Beliau berkata, setiap tahun pihaknya melihat statistik veteran kelainan upaya mula meningkat berikutan faktor usia, pelbagai penyakit dan sebagainya hingga tidak dapat menampung hidup.

“Bagaimanapun, timbul fenomena baru ketika ini iaitu ada empat kes veteran sebatang kara dan atas keprihatinan, kami mengambil mereka dan menempatkan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

“Kami ingin menyarankan kepada Kementerian Pertahanan supaya mewujudkan satu rumah Kasih Veteran bagi menempatkan veteran sebatang kara ini dengan dilengkapi pakar perubatan bertauliah supaya dapat penjagaan dan kawal selia yang lebih baik,” katanya.

Mohd Anwar menjelaskan, berdasarkan rekodnya, seramai 160,000 ahli PVATM direkodkan dengan pecahan 121,000 veteran berpencen dan 190,000 veteran tidak berpencen.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 11:40am
d