mutakhir

Tentera Israel pukul, renjat elektrik

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

AKTIVIS yang menyertai misi 'Right to A Just Future for Palestine' ke Gaza dengan kapal Kapal Al-Awda dipukul selepas ditahan tentera Israel.

Selain itu, tentera Israel dikatakan menyeksa ahli misi dengan renjatan eletrik.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, menurut ketua kapal Al-Awda, Zohar Chamberlain Regev, pihak Israel melakukan kekerasan kepada ahli misi.

Menurutnya, tentera Israel memukul beberapa ahli misi yang tidak mahu memberi kerjasama ketika diminta untuk menghidupkan enjin kapal.

"Maklumat terbaru mendapati dua lagi ahli misi kapal Al-Awda sudah dibebaskan, iaitu wartawan Al-Jazeera, Merouane Metidji dan Abdelmounim El Amrani, dan seorang aktivis warga Amerika, Joe Meadors.

"Wakil tunggal Malaysia Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh masih ditahan di penjara Givon, Israel dan dijangka akan dibebaskan dalam masa beberapa hari lagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 22 Julai lalu, Kapal Al-Awda bersama dua kapal kecil, Huriyyah dan Falastine, meninggalkan pelabuhan Messina, Sicily di Itali untuk meneruskan misi, kira-kira jam 4 petang (waktu Malaysia).

Pelayaran bermula pada 22 Mei lalu di Copenhagen, Denmark dan sudah melalui 28 pelabuhan di pelbagai lokasi.

Kapal berkenaan turut membawa bekalan perubatan bernilai RM61,000 untuk rakyat Palestin di Gaza.

Antara aktivis lain yang berada di atas kapal berkenaan adalah ahli politik Norway, Mikkel Gruner; Dokto Pakar OrtopedimUnited Kingdom, Dr Ang Swee Chai dan bekas atlet Norway, Prof Gerd Von der Lippe.

Terdahulu, dua orang dari ahli misi yang juga warga Israel sudah dibebaskan. Mereka ialah ketua kapal Al-Awda, Zohar Chamberlain Regev dan bekas kapten tentera udara Israel, Yonathan Shapira.

Berita berkaitan

Malaysia kecam tindakan rejim Zionis

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 12:03pm
d