mutakhir

RUU SST dibentang hari ini [METROTV]

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

RANG Undang-undang (RUU) Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU SST akan dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak 1 April 2014 pada kadar enam peratus, ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan.

Kerajaan bakal melaksanakan SST selepas Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk menghapuskan GST jika berjaya menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Guan Eng sebelum ini berkata, kerajaan mencadangkan kadar 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan di bawah SST yang dijangka menyumbang RM4 bilion kepada hasil kerajaan.

Katanya, pengenalan semula SST dan ditambah dengan kenaikan harga minyak mentah serta dividen tambahan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dijangka memberi hasil tambahan RM14.4 bilion kepada kerajaan tahun ini.

Pelaksanaan GST kira-kira empat tahun lalu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat, termasuk didakwa menjadi punca kepada kenaikan harga barang yang dengan sendirinya meningkatkan kos sara hidup.

Bagaimanapun, kerajaan BN sebelum ini mendakwa mengutip hasil GST sehingga RM42 bilion setahun.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 12:39pm
d