mutakhir

Tak guna punya kawan!

Oleh Shahrinnahar Latib

KAWAN makan kawan. Itu terjadi kepada seorang ahli perniagaan apabila kerugian RM127,000 selepas ditipu rakan baiknya yang meminjam wang daripadanya.

Suspek lelaki berusia 25 tahun dikatakan membuat pinjaman wang daripada mangsa bermula 25 Jun hingga 25 Julai lalu, namun tidak membayarnya walaupun beberapa kali diminta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa lelaki berusia 30 tahun pada mulanya menerima panggilan telefon daripada suspek pada 25 April lalu dan meminta untuk meminjam wang RM2,000.

“Selepas itu, mangsa terus ke Public Bank Bentong dan memasukkan RM2,000 ke akaun diberikan suspek. Suspek mendakwa akaun itu adalah milik rakan perniagaannya.

“Semenjak itu suspek sering menghubungi dan menghantar mesej kepada mangsa untuk meminta duit dan mangsa memasukkan wang yang diminta ke dalam akaun diberikan,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa membuat 13 transaksi ke dalam tiga akaun berbeza diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM127,000.

Bagaimanapun, katanya, mangsa meminta suspek membayar balik duit berkenaan, dia memberi pelbagai alasan dan meminta tempoh masa.

“Jumaat lalu, mangsa menerima mesej daripada suspek memintanya memasukkan wang sebanyak RM40,000 dan jika tidak berbuat demikian, lelaki itu akan melakukan sesuatu terhadapnya.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam, kerana bimbang dengan ugutan dan menyedari dirinya ditipu,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang wanita berusia 27 tahun kerugian RM8,300 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai polis di Kuantan, semalam.

“Mangsa menerima panggilan daripada seorang suspek yang mengaku pegawai dari sebuah bank di Kuala Lumpur.

“Suspek memberitahu mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi selama tiga bulan sebanyak RM3,375 dengan jumlah pinjaman RM50,000.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk membuat laporan polis dan suspek memberitahu mangsa terbabit dengan beberapa kes jenayah,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian memasukkan wang RM8,300 selepas suspek meminta wang berkenaan bagi menyelesaikan kes terbabit.

Beliau berkata, selepas memasukkan wang berkenaan, mangsa pergi ke cawangan bank sama di Kuantan untuk membuat semakan mengenai perkara itu dan pihak bank mengesahkan itu adalah satu penipuan,

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 12:47pm
d