mutakhir

'Cek tendang bayar pesawat ke Makkah'

Oleh Ruwaida Md Zain

POLIS menasihatkan semua mangsa kes penipuan pakej umrah oleh sebuah syarikat yang beroperasi di Setia Alam, tampil membuat laporan polis.

Syarikat yang tidak berdaftar dan tidak berlesen itu dikendalikan oleh seorang wanita berusia 32.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya percaya masih ramai mangsa di seluruh negara, bagaimanapun polis hanya menerima 40 laporan saja setakat ini.

“Dalam kes ini, suspek dipercayai menjalankan aktiviti penipuan secara bersendirian membabitkan jumlah hampir RM4 juta.

“Suspek yang diburu sejak April lalu berjaya diberkas di sebuah pangsapuri Nilai, Negeri Sembilan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor (JSJK) pada 25 Julai lalu.

“Polis turut merampas satu rantai emas, 11 gelang tangan, sembilan cincin, satu beg tangan jenama Louis Vuitton serta wang tunai bernilai RM38,200,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Mazlan berkata, pada 23 Disember tahun lalu, seorang mangsa yang juga pengarah syarikat ejen pelancongan tempatan membuat laporan di Balai Polis Sri Muda di Shah Alam, mendakwa ditipu suspek.

Katanya, mangsa bersetuju menjadi ejen pengelola bagi pesawat sewa khas kepada sebuah syarikat lain yang juga agensi pelancongan dipercayai diuruskan oleh suspek.

“Mengikut tawaran, suspek bersetuju menjelaskan bayaran sebanyak RM1.33 juta kepada mangsa pada 16 November 2017 iaitu dua minggu sebelum pesawat berlepas membawa jemaah umrah ke Arab Saudi. “Mangsa dikehendaki membuat pembayaran kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB),” katanya.

Menurutnya, mangsa menerima imej bukti pembayaran iaitu melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek berjumlah RM3.99 juta kepada agensi pelancongan mangsa bagi penerbangan pertama pada 1 Disember 2017 yang menunjukkan wang didepositkan ke akaun syarikat.

“Atas dasar percaya, mangsa mengendalikan urusan penerbangan tanpa menerima bayaran daripada suspek sebelum memungut cek itu daripada wanita berkenaan.

“Mangsa kemudian mendepositkan cek bernilai RM3.99 juta selepas semua urusan selesai dan mendapati cek berkenaan adalah cek tendang,” katanya.

Beliau berkata, suspek sekali lagi menghantar imej borang kiriman wang berjumlah RM3.99 juta daripada bank tempatan di Setia Alam dan memberitahu mangsa bahawa bayaran akan dimasukkan ke dalam akaun milik syarikat berkenaan.

“Atas dasar percaya, sekali lagi mangsa mengendalikan urusan penerbangan pesawat tanpa sebarang bayaran.

“Apabila membuat semakan, mangsa mendapati imej cek dan imej borang permohonan kiriman wang terbabit adalah palsu dan bertujuan memperdaya mangsa.

“Mangsa mengalami kerugian apabila terpaksa menanggung kos penerbangan yang didahulukan kepada MAB,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 4:02pm
d