mutakhir

Tinju isteri layan pelanggan lelaki

Oleh Hadzlihady Hassan

CEMBURU kerana isterinya melayan pelanggan lelaki di butik mereka, seorang suami tergamak menumbuk kepala dan menjerut leher wanita berkenaan menggunakan kabel telefon dalam kejadian di Taman Chai Leng, Perai, Bukit Mertajam, pagi semalam.

Dalam kejadian 4 pagi itu, lelaki berusia 38 tahun itu berang kerana isterinya yang berusia 30 tahun melayan seorang lelaki lebih muda dan ‘jambu’ daripadanya di butik milik mereka di Jalan Perniagaan Perda, Bukit Mertajam, kira-kira lapan jam sebelum itu.

Menurut sumber, ketika berada di butik terbabit pada 8 malam, suspek sudah menunjukkan sikap panas baran apabila dia meluru ke arah isterinya dan memberitahu dia tidak suka wanita berkenaan melayan pelanggan lelaki itu.

“Suspek yang naik angin turut menendang kasut dan menumbuk pelanggan berkenaan, namun isterinya sempat menghalang lelaki itu daripada terus memukul.

“Suspek turut melepaskan geram dengan menumbuk dinding sebelum wanita terbabit memujuk suaminya itu untuk berbincang perkara berkenaan di rumah mereka,” katanya.

Sumber itu berkata, bagaimanapun, ketika berada di rumah berlaku pertengkaran antara mereka dan suspek menumbuk kepala isterinya beberapa kali dan menjerut leher wanita terbabit menggunakan kabel telefon.

Beliau berkata, selepas kejadian itu, suspek terus mengambil kereta dan keluar dari rumah, namun mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan itu kemudian membuat laporan polis.

“Susulan daripada itu, polis menahan suspek dan dia kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Siasatan awal mendapati suspek terlalu cemburu dan mendakwa pelanggan terbabit tidak mahu berurusan dengannya dan lebih banyak bertanya mengenai barang dijual kepada isterinya ketika berada di butik mereka.

“Mangsa yang berkahwin dengan suspek sejak April lalu mengalami lebam di kaki, leher dan dahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 4:43pm
d