mutakhir

'Aduh, sakitnya jari ku...'

Oleh Essa Abu Yamin

“KETIKA kejadian, anak saya baru memulakan kelas di dalam bengkel subjek Kemahiran Hidup di sekolahnya,” kata Mohd Hasni Mohamed, 44, bapa kepada pelajar yang dua jari tangan kanannya hampir terputus akibat kena mesin kayu, pagi semalam.

Mohd Jasni berkata, dalam kejadian 7.45 pagi itu, anaknya Muhd Nur Adham, 14, masuk ke bengkel di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Menteri, Ayer Hitam, Batu Pahat itu dan memulakan kerja memotong kayu menggunakan mesin sambil dipantau gurunya.

“Ketika anak saya mahu memotong kayu menggunakan mesin pemotong kayu itu, tiba-tiba tangannya tergelincir lalu terpotong jari telunjuk dan jari hantunya.

“Akibat kemalangan itu, dua jari tangan anak saya hampir terputus dan guru terus bergegas membawanya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya.

Mohd Jasni berkata, kini keadaannya anaknya agak stabil dan hanya menunggu masa untuk proses pembedahan bagi menyelamatkan kedua-dua jari tangan anaknya itu.

“Syukur keadaan anak saya agak baik dan emosinya stabil. Kami sekeluarga sama-sama memberi semangat kepadanya untuk teruskan kehidupannya seperti biasa.

“Terima kasih kepada pihak sekolah yang begitu prihatin mengenai kemalangan menimpa anak saya dan sering mengambil tahu keadaannya di hospital serta memberi sumbangan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Mohd Jasni berkata, doktor yang merawat anaknya itu menyatakan pihak hospital akan berusaha sedaya upaya menyelamatkan jari tangan anaknya yang hampir putus itu dengan memasang alat khas.

“Semoga pembedahan berkenaan berjalan lancar dan pihak hospital dapat menyelamatkan kedua-dua jari anak saya itu,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 5:15pm
d