mutakhir

Al-Ikhsan taja pakaian, kasut sukan

Oleh Mohamed Sahidi Yusof

SYARIKAT menjual barangan sukan ternama, Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd (Al-Ikhsan) menaja pakaian dan kasut sukan buat remaja yang melakukan misi berjalan secara solo ke Makkah.

Sumbangan itu sebagai tanda sokongan kepada Muhammad Yusof Abdullah, 19, yang memulakan misinya pada 20 Julai lalu.

Pengawal Wilayah Pantai Timur dan Utara Al-Ikhsan, Mat Husin Hassan hadir menyampaikan sumbangan itu kepada Muhammad Yusof yang tiba di bandar Tanah Merah pada hari ke-11 misinya, hari ini.

Mat Husin berkata, sumbangan itu sangat bersesuaian dengan keperluan remaja terbabit dan untuk keselesaannya bagi meneruskan perjalanan.

“Ia adalah sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami yang memberi manfaat kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Semangat ditunjukkan Muhammad Yusof dengan misinya berjalan ke Makkah, boleh dijadikan contoh kepada remaja lain,” katanya ditemui di kedai Al-Ikhsan di Tanah Merah, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Yusof mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Al-Ikhsan serta semua pihak yang menyokongnya serta memberi sumbangan dalam menjayakan misi itu.

Katanya, paling penting adalah doa daripada rakyat Malaysia yang diharap dapat melancarkan misi diibaratkan jihad dan impiannya sejak enam tahun lalu.

“Saya nekad tidak akan berpatah balik dan tetap meneruskan misi ini sehingga sampai ke destinasi, walaupun mungkin ada halangan di sepanjang perjalanan,” katanya.

Muhammad Yusof memulakan misinya berjalan ke Makkah di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 20 Julai lalu dan akan merentasi tujuh negara.

Dia dijangka sampai di Makkah pada Februari tahun depan.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 5:31pm
d