mutakhir

Jangan pilih pemimpin PKR ikut kem

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

JANGKAAN pertembungan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu bulan depan, tidak akan melemahkan parti untuk jangka masa panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek, yang juga antara pengasas PKR yakin kedua-dua mereka dan semua penyokong akan kembali bersatu selepas pemilihan.

“Saya yakin kedua-dua pemimpin ini mampu bertindak matang. Ada orang mengatakan akan wujud perpecahan dalam kalangan ahli pada pemilihan parti ini disebabkan pembentukan beberapa kumpulan tertentu.

“Namun saya yakin ini hanya sementara dan semua ahli akan kembali bersama sebagai satu pasukan selepas keputusan pemilihan diumumkan kelak,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Seremban, hari ini.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR, kelmarin mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden parti yang disandang oleh Mohamed Azmin.

Mohamed Azmin bagaimanapun belum mengumumkan jawatan yang akan ditandinginya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mohamad Rafie berkata, setiap ahli yang berkelayakan mempunyai hak untuk bertanding semua jawatan dalam pemilihan PKR sejajar dengan amalan demokrasi yang diterapkan parti itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri berkata, berikutan itu, ahli yang lain perlu bijak membuat pemilihan pemimpin berdasarkan prestasi, kewibawaan dan sumbangan.

Katanya, ahli perlu mengelak membuat pemilihan atas dasar kelompok atau kumpulan tertentu kerana boleh menjejaskan kekuatan parti.

“Nilaikan pemimpin yang akan dipilih dengan bijaksana supaya PKR terus kukuh dan diberi kepercayaan untuk memimpin serta menjadi parti politik yang disegani,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 7:43pm
d