mutakhir

Lagi penempatan atas air di Sabah terbakar [METROTV]

Oleh Abdul Rahemang Taiming

PULUHAN rumah di Kampung Ayer, Semporna dipercayai musnah dalam kebakaran besar membabitkan penempatan atas air, hari ini.

Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah jam 5.30 petang sebelum api merebak memusnahkan puluhan rumah lain berikutan kedudukan kediaman yang rapat antara satu sama lain.

Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan cedera atau maut apabila penghuni sempat menyelamatkan diri, namun sebahagian besar mangsa gagal menyelamatkan barangan berharga.

Kepulan asap hitam dan api yang marak serta menjulang tinggi dapat dilihat dengan jelas dari pekan Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Peter Anak Umbuas ketika dihubungi berkata, jumlah sebenar rumah yang musnah dalam kebakaran itu belum dapat dipastikan.

Setakat jam 8 malam, anggota bomba masih bertungkus lumus mengawal kebakaran dan menjalankan operasi pemadaman.

Ia adalah kebakaran besar keempat membabitkan penempatan atas air dan setinggan di Sabah dalam tempoh 36 hari.

Pada 27 Jun lalu, seramai 1,224 penghuni hilang tempat tinggal apabila 125 rumah di Kampung Gas, Sandakan terbakar, disusuli 150 penduduk tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran 30 rumah di Kampung Sarip, Lahad Datu, 9 Julai lalu.

Dalam kejadian terbaru pada 24 Julai lalu, kira-kira 150 rumah di Kampung Cenderamata Dua di Likas, terbakar mengakibatkan hampir 800 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 8:08pm
d