mutakhir

[UPDATE] Wanita ditemui rentung [METROTV]

Oleh BERNAMA

WANITA dipercayai rakyat tempatan berusia 40-an dijumpai rentung, manakala lima lagi individu cedera dalam kebakaran sebuah kedai motosikal di Jalan Sentul, Kuala Lumpur, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kuala Lumpur, Ruhisha Haris berkata, dalam kejadian 8.42 malam itu, mayat mangsa ditemukan bersebelahan kaunter kedai di tingkat bawah bangunan empat tingkat berkenaan.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan, pihaknya segera mengerahkan 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Titiwangsa dan Hang Tuah ke lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, mangsa (wanita yang maut) berada di dalam kedai bersama tiga mangsa lelaki iaitu dua warga tempatan dan seorang warga Pakistan yang cedera, manakala seorang wanita warga Indonesia dan lelaki warga Pakistan yang berada di bilik asrama pekerja di tingkat atas turut cedera,”€ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ruhisha berkata, kedai motosikal itu terbakar sepenuhnya manakala tingkat dua yang menempatkan sebuah klinik persendirian dan bilik asrama pekerja di tingkat tiga serta empat musnah terbakar 30 peratus.

Punca kejadian masih disiasat.

Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dan mangsa yang cedera masing-masing dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan menerima rawatan.

Semalam media melaporkan seorang dikhuatiri maut manakala tiga lagi dipercayai cedera dalam kebakaran itu.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 11:02am
d