mutakhir

Tumpang rezeki isteri tunai haji

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Gilirannya menunaikan haji sepatutnya 52 tahun lagi, tetapi dia dipilih Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menunaikan ibadat berkenaan atas rezeki isterinya.

Khairul Akmal Mamat, 33, hanya mendaftar dengan TH pada 2013 selepas diminta isteri, Nur Liyana Kamarudin, 32, berbuat demikian bagi membolehkannya menemani Nur Liyana yang dua kali menolak tawaran menunaikan haji sebelum ini.

“Alhamdulillah, isteri saya terima tawaran TH pada Disember tahun lalu selepas dua kali menolak (tawaran) ketika berusia 17 tahun dan menuntut di universiti pada 2006.

“Saya yang tidak menerima tawaran itu membuat rayuan kepada TH untuk menemani isteri ke Tanah Suci Makkah. Giliran saya menunaikan haji dijangka pada 2070, namun syukur kerana dapat melakukannya lebih awal dan akan bertolak Jumaat ini,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Jeram Perdana, Masjid Tanah di sini, semalam.

Khairul Akmal yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah berkata, dia bersyukur diberikan peluang menjadi tetamu Allah SWT pada usia muda dan berharap mampu melakukan ibadat itu dengan sempurna.

Sementara itu, Nur Liyana berkata, dia didaftarkan ibunya ketika berusia lima tahun dan kali pertama menerima tawaran pada 2003, tetapi menolaknya kerana menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kali kedua saya ditawarkan pada 2006, tetapi sekali lagi menolaknya kerana tiada mahram yang boleh menemani saya, tetapi apabila menerima tawaran ketiga Disember tahun lalu, saya sujud syukur dan bersedia menjadi tetamu-Nya,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 11:07am
d