mutakhir

Dah boleh bida nombor plat 'Malaysia' [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

NOMBOR pendaftaran kenderaan 'Malaysia' mulai dibuka hari ini dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memulakan bidaan pertama pada 10 pagi ini.

Beliau membuat bidaan bagi nombor pendaftaran 'Malaysia 509' dengan nilai RM1,509 bersempena kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pada 9 Mei lalu.

Menurutnya, nombor pendaftaran khas membabitkan 10,000 siri bermula dengan 'Malaysia 1' hingga 'Malaysia 9999' dibuka sehingga 15 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-61.

Katanya, bidaan terbuka kepada semua mengikut empat kategori nombor pendaftaran iaitu nombor bernilai utama dengan bayaran minimum RM10,000, menarik (RM2,000) dan popular serta semasa masing-masing berharga RM300.

"Tiada pengecualian diberikan untuk menempah nombor pendaftaran termasuk menteri. Saya sendiri datang ke JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) untuk menempah dan sesiapa sahaja boleh bida nombor itu.

"Bagaimanapun, untuk nombor pendaftaran 'Malaysia 2020' ditawarkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ia terpulang kepada beliau," katanya pada sidang media selepas membuat tempahan nombor pendaftaran khas itu di JPJ Negeri Sembilan, hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, semua rakyat Malaysia boleh membuat tempahan di JPJ seluruh negeri dan hasil bidaan terbabit akan disumbangkan untuk kerajaan.

"Tawaran nombor pendaftaran istimewa itu dijangka mampu menjana hasil memberangsangkan kepada kerajaan kerana berdasarkan penjualan nombor pendaftaran indeks siri 'F' sebelum ini merekodkan hasil sebanyak RM22 juta.

Katanya, pengumuman akan dibuat pada 29 Ogos dan selepas itu, pemilik boleh terus membuat pendaftaran dan mula menggunakan nombor pendaftaran istimewa itu sebelum Hari Kebangsaan.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 1:14pm
d