mutakhir

Di mana kelompok 'kem Rafizi' ?

Oleh Mohd Azrone Sarabatin dan Mohd Nasaruddin Parzi

PERSOALAN timbul apabila pemimpin PKR yang dikelompok sebagai ‘kem Rafizi’ tidak dilihat turun padang membantu kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Kumpulan itu adalah yang dikatakan berada dalam pasukan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu menentang penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Ketiadaan mereka dalam banyak ceramah utama PKR pada kempen itu dirasai, ketika tempoh kempen hanya berbaki tiga hari, semalam.

Ia membuka persoalan sama ada kumpulan Rafizi itu tidak mendapat tempat dalam pentas kempen PRK.

Beberapa nama pemimpin PKR dari kem Rafizi itu tidak kerap dilihat turun padang pada PRK DUN Sungai Kandis, termasuk memenuhi undangan ceramah kelompok di pusat daerah mengundi (PDM) parti berkenaan sejak minggu lalu.

Malah, tinjauan NSTP yang mengikuti siri ceramah PKR sejak minggu lalu mendapati Rafizi tidak kelihatan turun padang menyampaikan ceramah PRK biarpun pemimpin muda PKR itu antara individu yang aktif sebelum ini.

Sebelum ini, Rafizi mengumumkan pasukannya yang akan bertanding pada pemilihan PKR bulan ini, termasuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; dan Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Antara beberapa lagi nama lain ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani; dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Pemimpin lain dikaitkan dengan Rafizi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Omar; dan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail; serta Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina Abdullah.

Daripada kesemua itu, hanya Abdullah dan Rodziah pernah hadir menyampaikan ceramah kelompok di PDM PKR di Sungai Kandis, minggu lalu.

Malam kelmarin, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan siri kempen di DUN Sungai Kandis dengan menyampaikan ceramah sulungnya di Kampung Jalan Kebun, namun kelibat dalam senarai nama berkenaan tidak kelihatan sepentas dengan beliau.

PKR sudah memulakan ceramah kelompoknya bagi membantu kempen Mohd Zawawi Ahmad Mughni sejak minggu lalu, namun pemimpin parti itu yang kerap menyertai dilihat lebih condong kepada kem Mohamed Azmin.

Selain Menteri Besar, Amirudin Shari, dan Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, beberapa nama lain dikaitkan dengan kem Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu termasuk Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar; ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman; serta ADUN Kajang, Hee Loy Sian.

Antara pemimpin muda PKR yang kerap dilihat berada di DUN Sungai Kandis dan dikaitkan dengan kem Mohamed Azmin ialah ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri; ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham; serta EXCO Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 4:00pm
d