mutakhir

'Mana arahan sokong calon BN?'

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

PAS tidak pernah mengeluarkan arahan supaya penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Malah, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, parti itu juga tidak memberi arahan untuk turun berkempen bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tewas pada PRK berkenaan.

Katanya, beliau tidak mengetahui mengenai kenyataan pemimpin PAS lain yang menggesa pengundi parti mengundi calon BN.

“Kenyataan rasmi daripada parti seperti dikeluarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pada 22 Julai lalu.

“Kenyataan lain tidak boleh mengatasi kenyataan Setiausaha Agung PAS. Dalam parti, hanya kenyataan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung menunjukkan pendirian parti secara rasmi.

“Kenyataan Takiyuddin jelas dan ahli sudah membuat pertimbangan masing-masing. Misalnya kita memberi duit dekat anak-anak kita, jadi biarlah mereka mahu membeli apa-apa dan kita tidak mengarah, kita hanya beri duit saja,” katanya selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Takiyuddin sebelum ini berkata ahli PAS di kawasan PRK DUN Sungai Kandis diarahkan membuat pilihan berpandukan pertimbangan yang wajar demi kepentingan Islam dan Melayu serta masa depan negara.

Katanya, pihaknya turut meminta ahli parti itu yang bakal memilih wakil rakyat kawasan terbabit supaya mengambil kira sikap PAS terhadap kerajaan baharu PH yang kekal seperti sebelum PRU-14.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, Sabtu lalu mengajak penyokong parti itu menolak calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan memastikan PAS akan berkempen supaya PH tewas pada PRK berkenaan.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 4:16pm
d