mutakhir

Tiga beradik dadah dicekup

Oleh Farah Suhaidah Othman

TIGA beradik termasuk seorang masih bersekolah ditahan kerana dipercayai mengedar heroin dan syabu di Taman Pengkalan Maju, Simpang, Taiping, semalam.

Mereka yang berusia 15, 24 dan 25 tahun antara lima individu ditahan dalam serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada 10.30 pagi.

Seorang lagi yang ditahan adalah wanita berusia 21 tahun yang juga isteri kepada suspek berusia 25 tahun manakala seorang lagi lelaki berusia 33 tahun yang juga rakan kepada tiga beradik berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran, berkata hasil pemeriksaan dalam rumah, polis menemui satu paket plastik dadah dipercayai heroin seberat 0.46 kilogram (kg) dan lima paket dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat tiga gram (g).

Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan dadah berjumlah RM14,250 dan polis turut menyita beberapa harta termasuk tiga kereta dan dua motosikal serta wang tunai berjumlah RM60,480.

“Siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 24, 25 dan 33 tahun mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah manakala remaja lelaki adalah pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Dalam kes berasingan, Ravi Chandran berkata, hasil maklumat orang awam dan risikan polis, sepasukan pegawai dan anggota IPK negeri menahan lima lelaki dalam tiga serbuan di sekitar Ipoh, semalam dan kelmarin.

Beliau berkata, serbuan pertama pada 11.30 pagi kelmarin di Taman Kledang Permai dan polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun dan menemui 12 paket dadah dipercayai heroin seberat 17.2g bernilai RM516.

“Soal siasat terhadap suspek membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki berusia antara 23 hingga 40 tahun dalam serbuan 12.30 tengah hari di restoran di taman sama pada hari sama.

“Polis kemudian menemui 200 paket dadah dipercayai heroin bernilai RM9,750 di sebuah pondok di Taman Rasi Jaya, Ipoh,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan ketiga di Taman Bertuah pada 2.30 pagi semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun sebelum menemui 31 paket dadah dipercayai heroin seberat 431g dianggarkan bernilai RM12,944.

Katanya, dalam kedua-dua kes berkenaan, empat daripada lima suspek yang ditahan positif dadah jenis morfin selepas ujian saringan air kencing dijalankan terhadap semua suspek.

“Keseluruhan rampasan dadah dalam ketiga-tiga kes berkenaan dianggarkan bernilai RM36,944 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

“€œSuspek bagi ketiga-tiga kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 5:18pm
d