mutakhir

e-Lencana kesan pergerakan jemaah haji

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

TABUNG Haji (TH) dalam proses melaksanakan satu lagi penambahbaikan dalam aspek pengurusan jemaah haji dengan memperkenalkan sistem e-Lencana pengenalan haji (e-Lencana).

Sistem itu kini dalam peringkat percubaan, membabitkan 6,000 jemaah haji dari pusat penginapan maktab 74 dan 75 di Makkah selaku kumpulan perintis.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, sekiranya program percubaan e-Lencana itu berjaya pihaknya berharap dapat melaksanakannya kepada semua jemaah pada musim haji tahun depan.

Menurutnya, inisiatif itu yang diusahakan dengan kerjasama anak syarikat TH, Theta Edge Berhad itu menggunakan aplikasi pengesan e-LPH di telefon pintar dengan teknologi 'Low Emission Bluetooth.'

"Tujuan sistem ini ialah untuk mengesan pergerakan jemaah haji di 'check point' atau pusat pemeriksaan tertentu bagi petugas kita membuat kiraan kehadiran mereka," katanya dalam sidang media di pusat operasi TH di hotel Abraj Al-Janadriyah, di Makkah, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurrinanuwar Shamsuddin dan Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Mohd Shaffari Marzuki.

Syed Saleh berkata, enam 'check point' itu ialah di terminal ketibaan, ketika jemaah menaiki bas, sejurus tiba di hotel, pergerakan umrah pertama, pergerakan dari Makkah ke Arafah pada hari wukuf dan sebaik saja jemaah tiba di Arafah.

Menurutnya, e-Lencana ini dilampir bersama tag pengenalan jemaah haji dan kehadiran jemaah haji boleh dikesan petugas TH melalui telefon bimbit yang dilengkapi aplikasi e-LPH.

"Aplikasi ini efektif dalam jarak 30 hingga 50 meter. Selepas kehadiran jemaah ini dikesan, maklumat ringkas jemaah akan terpapar pada telefon bimbit petugas dan secara automatik juga direkodkan dalam sistem maklumat operasi TH," katanya.

Beliau berkata, selain untuk tujuan mengesan pergerakan e-Lencana itu jga digunakan untuk merekod kehadiran jemaah dalam siri ceramah dan taklimat dianjurkan TH.

"Kalau berlaku kecemasan kita juga boleh kesan berapa jemaah haji berada di tempat yang sepatutnya dan siapa yang tak ada lagi kita akan cari mereka," katanya.

Menurutnya, sistem e-Lencana itu tidak mengesan atau merekod pergerakan peribadi jemaah untuk tujuan santai seperti membeli belah dan sebagainya.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 5:49pm
d