mutakhir

'Pengintip' BN boleh letak jawatan [METROTV]

Oleh Fahmy Azril Rosli

NAIB Canselor dan Timbalan Naib Canselor universiti awam yang masih terbabit aktif sebagai 'pengintip' Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan jawatan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, mereka disarankan berbuat demikian jika tidak boleh bersama kerajaan baharu untuk melaksanakan agenda islah atau reformasi.

Menurutnya, tiada tindakan akan diambil terhadap perbuatan mereka sekiranya meletak jawatan secara sukarela.

“Saya pelik macam mana mereka (pemimpin BN) tahu adanya mesyuarat. Sudah tentunya mereka mendapat maklumat daripada naib canselor yang masih berkomunikasi dengan mereka

“Jadi ternyata naib canselor ini, adakah bekerja untuk Kementerian Pendidikan Malaysia ataupun bekerja dengan pembangkang? Jadi ini satu soalan yang besar.

“Saya tidak memberi amaran, (sebaliknya) cuma saya menawarkan kod supaya mereka meletak jawatan tanpa diambil tindakan jika tidak boleh melaksanakan agenda reformasi atau bersama kita memacu perubahan universiti awam untuk membawa agenda perubahan secara menyeluruh,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan terdapat Naib Canselor dan Timbalannya kononnya masih 'bekerjasama' dengan bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Maszlee tidak mendedahkan berapa ramai golongan yang terbabit dengan 'kes' itu, tetapi pihkanya mempunyai laporan lengkap.

Bagaimanapun, katanya, terdapat Naib Canselor yang bersikap profesional, malah ramai di antara mereka yang memang disambung kontrak dan tidak berpolitik.

“Cuma laporan berkaitan dengan sesetengah yang begitu aktif pada pilihan raya yang lalu dengan berkempen untuk BN.

“Ada juga terbabit dalam usaha menyingkirkan atau mengenakan tindakan terhadap kakitangan universiti yang tidak sehaluan dengan mereka.

“Itu memang banyak laporan. Jadi kita dapati mereka tidak dapat untuk mendukung agenda reformasi di universiti awam,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 6:28pm
d