mutakhir

Tunggang motosikal 'curi' ke port dadah [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEBUAH motosikal Honda Wave yang dilaporkan hilang kira-kira dua tahun lalu, akhirnya ditemui semula di sarang penagihan dadah dikenali sebagai 'port mandu' dekat Ayer Puteh, Pendang, hari ini.

Motosikal itu ditunggangi ibu tunggal beranak satu berusia 26 tahun, yang datang ke port itu untuk mendapatkan bekalan dadah.

Dia bagaimanapun ditahan dalam operasi yang dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang diketuai Asisten Superintendan Muhammad Amin Mat Yassin bersama anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang.

Sebelum itu, wanita terbabit memberi alasan datang ke port terbabit untuk meminjam telefon bimbit salah seorang rakannya untuk bermain judi dalam talian bagi mendapatkan wang.

Katanya, dia yang bekerja sebagai peniaga ikan kerap bermain judi dalam talian untuk menyara anak lelakinya berusia empat tahun dan pernah memenangi hadiah hasil pertaruhan itu, sebelum ini.

“Saya guna duit hasil jual ikan untuk membeli kad tambah nilai RM10 sebelum berjudi melalui telefon bimbit manakala sebahagian wang lagi digunakan untuk membeli dadah,” katanya.

Operasi selama tiga jam bermula jam 3 petang hingga 6 petang hari ini menahan 13 individu disyaki penagih dadah termasuk dua wanita dengan kesemua berusia antara 20 hingga 45 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, port berkenaan diserbu buat kali ketiga berikutan disyaki menjadi sarang penagihan dadah di daerah ini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati dua buah motosikal disyaki motosikal curi dengan enjin sebuah daripadanya didapati sudah dicanai.

“Berikutan itu, dua motosikal itu dibawa ke IPD Pendang untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

“Hasil saringan ujian air kencing terhadap mereka mendapati 12 daripadanya positif dadah jenis morfin dan seorang wanita positif syabu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) a Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 8:45pm
d