mutakhir

103 pelajar MRSM Taiping alami keracunan makanan [METROTV]

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Muhammad Apendy Issahak

BILANGAN pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping yang mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan adalah seramai 103 orang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak Dr Ding Lay Ming berkata, maklumat awal kes keracunan makanan membabitkan pelajar sekolah itu diterima Pejabat Kesihatan (PKD) Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), pagi hari ini.

Katanya, laporan dibuat pihak MRSM memaklumkan terdapat pelajar yang mengalami gejala muntah dan cirit-birit.

“Siasatan PKD LMS mendapati terdapat 103 pelajar mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah.

“Rawatan awal diberikan kepada pelajar dan mereka yang memerlukan rawatan lanjut dibawa ke Hospital Taiping.

“Kesemua kes diberikan rawatan sebagai pesakit luar dan tiada yang dimasukkan ke wad,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, malam ini.

Dr Lay Ming berkata, punca keracunan berkenaan masih dalam siasatan.

Katanya, berikutan itu premis dapur asrama MRSM berkenan ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Terdahulu, dalam laporan awal, tiga pelajar MRSM Taiping dirawat di Hospital Taiping, hari ini selepas mengalami muntah dan cirit-birit dipercayai akibat keracunan makanan.

Kesemua pelajar berusia antara 16 dan 17 tahun itu dihantar ke hospital berkenaan jam 12 tengah hari oleh pengurusan MRSM Taiping.

Dua daripadanya sudah dibenarkan pulang selepas sejam menerima rawatan, manakala seorang dirawat di wad pemerhatian di hospital berkenaan.

Kes keracunan makanan di MRSM Taiping berlaku kali kedua dalam tempoh tiga minggu di mana kejadian pertama berlaku membabitkan 31 pelajar pada 12 Julai lalu.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 9:11pm
d