mutakhir

Tutup sebab begok bukan HFMD

Oleh Ruwaida Md Zain

NOTIS penutupan sebuah kelas Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Sungai Lang, Banting, yang viral di Facebook sejak beberapa jam lalu tiada kaitan dengan wabak penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD).

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim ketika dihubungi NSTP berkata, sebaliknya arahan penutupan selama lima hari itu membabitkan penyakit begok.

“Kelas ini ditutup kerana ada enam kes mumps (begok). Ia dibuat atas permintaan guru sekolah. Keadaan murid terbabit semuanya stabil.

“Tujuan untuk pembersihan bilik dan memastikan yang berhubungan dengan kes diasingkan.

“Ini bukan kes HFMD. Bukan wabak penyakit tetapi hanya kes terpencil,” katanya.

Gambar notis berkenaan tersebar melalui laman sosial Facebook yang menyatakan kelas berkenaan ditutup bermula hari ini hingga 5 Ogos 2018.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 10:17pm
d