mutakhir

Had 18 tahun

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Selangor bakal meminda had umur minimum perkahwinan untuk wanita Islam yang ketika ini pada usia 16 tahun ke 18 tahun.

Jika diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kelak, had umur minimum untuk wanita Islam di negeri itu diselaraskan dengan lelaki.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, keputusan cadangan untuk menaikkan had usia wanita Islam itu dicapai selepas satu perbincangan dua hari pada 19 dan 20 Julai lalu antara pihak berkuasa agama itu dengan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Katanya, perbincangan itu turut membabitkan pakar dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan khususnya pakar perubatan, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Hasil perbincangan itu, keputusan bersama dicapai bagi mencadangkan pindaan kepada peruntukan mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 membabitkan had umur minimum bagi perkahwinan di bawah umur orang Islam di Selangor.

“Cadangan pindaan kepada Enakmen Undang -Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 akan dibawa ke sidang DUN Selangor secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohammed Khusrin berkata, keputusan mesyuarat juga bersetuju memperketatkan kelulusan perkahwinan di bawah usia oleh Hakim Mahkamah Syariah dengan mengambil kira kepentingan kanak-kanak terbabit dalam perkahwinan itu dan mengelakkan kemudaratan kepadanya.

“Antara syarat dicadangkan untuk diperketatkan adalah mewajibkan hakim mengarahkan kanak-kanak itu menjalani beberapa Kursus Kekeluargaan Khas, menghadiri sesi kaunseling dikendalikan oleh kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menjalani pemeriksaan perubatan dikendalikan pegawai perubatan hospital kerajaan.

“Hakim juga akan diwajibkan untuk menyiasat kedudukan ekonomi bakal suami, rekod jenayah lampau (sekiranya ada) dan memanggil bakal suami atau bakal isteri dan bakal ibu bapa mentua atau mana-mana pihak lain untuk diambil keterangan sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan.

“Selain itu, beberapa syarat lain bersifat prosedur perlu dikemaskini dan ditambah baik demi kepentingan mereka yang berhasrat berkahwin di usia muda,” katanya.

Beliau berkata, pindaan undang-undang itu bagi memastikan kepentingan masa depan kanak-kanak itu sentiasa menjadi fokus utama selain sebagai pertimbangan utama hakim dalam membuat keputusan membabitkan permohonan pernikahan bawah umur.

Katanya, MAIS memandang serius isu perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun yang berlaku di Selatan Thailand.

“Isu perkahwinan kanak-kanak berleluasa bukan saja di negara ini, malah menjadi satu masalah global berlaku di seluruh dunia yang harus ditangani secara holistik,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 11:12am
d