mutakhir

Guru besar pun kena 'kencing'

Oleh Shahrinnahar Latib

TAKTIK licik sindiket Macau Scam yang berlakon sebagai pegawai bank dan anggota polis untuk menakutkan mangsa mengakibatkan seorang guru besar sekolah rendah, di Maran, kerugian RM31,250.

Kejadian penipuan itu bermula ketika mangsa wanita berusia 49 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kelmarin, yang memperkenalkan diri sebagai Che Hussin Othman dari Hong Leong Bank dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM3,375.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menafikan mempunyai kad kredit Hong Leong bank sebelum talian berkenaan disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Sabah.

"Mangsa kemudian bercakap dengan Sarjan Azman. Lelaki itu mendakwa mangsa turut terbabit dengan kes pengubahan wang haram sebelum panggilan disambung kepada seorang lagi polis yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Zamri.

"Inspektor Zamri mendakwa seorang lelaki yang bernama Louis Tan Ee Peng ditahan polis akibat kesalahan pengubahan wang haram dan suspek menyatakan mangsa turut terbabit dengan kes berkenaan," katanya.

Beliau berkata, Inspektor Zamri menyatakan yang data maklumat diri mangsa dijualkan kepada orang lain sebanyak RM3,000 dan wang berkenaan dimasukkan ke akaunnya.

"Inspektor Zamri juga mendakwa kes ini akan disiasat oleh satu badan khas kajian kawalan wang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mangsa juga ada menerima mesej WhatsApp gambar laporan polis kes pengubahan wang haram itu.

"Mangsa yang bimbang dikenakan tindakan kemudian membuat empat kali transaksi wang ke dua akaun berbeza. Selepas memasukkan semua wang berkenaan, suspek mendakwa akan menghubungi mangsa, namun sehingga kini wanita berkenaan tidak menerima sebarang panggilan telefon," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Maran, semalam selepas menyedari ditipu oleh sindiket berkenaan.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 11:15am
d