mutakhir

Cemas bot karam

Oleh Erika George

ENAM nelayan tempatan terselamat selepas bot mereka terbalik sebelum karam dibadai ombak besar ketika sedang menangkap ikan di Perairan Bintulu, 6.30 pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu, Kapten Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, kesemua mangsa berusia antara 20 hingga 55 tahun itu berada dalam kedudukan 12 batu nautika dari pesisir pantai Bintulu ketika kejadian berlaku, dengan keadaan laut agak bergelora.

"Kesemua mangsa bernasib baik kerana kejadian disedari bot nelayan yang kebetulan berada di lokasi sama, yang kemudian bergegas menyelamatkan mereka sebelum menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Bintulu bagi mendapatkan bantuan. Bertindak atas maklumat itu, sebuah kapal peronda APMM, KM Jepak dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menyalurkan bantuan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua nelayan terbabit kemudian dibawa ke jeti nelayan berhampiran sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"APMM mengingatkan semua komuniti nelayan dan pihak yang menjalankan kegiatan ekonomi di kawasan perairan, termasuk pesisir pantai agar sentiasa berhati-hati serta peka terhadap keadaan cuaca dari masa ke semasa. Pada masa yang sama, semua bot hendaklah dilengkapi dengan jaket dan pelampung keselamatan kerana ianya amat diperlukan pada waktu kecemasan.

"Kita menegaskan agar mana-mana bot kecil agar tidak turun ke laut sekiranya amaran cuaca buruk dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Shahref turut menasihatkan orang ramai atau sesiapa sahaja yang terlihat atau mengetahui sebarang kes kemalangan serta jenayah yang berlaku di sekitar perairan negara, agar menghubungi segera ke talian yang beroperasi 24 jam sehari iaitu 086-314237 atau 086-314254.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 11:54am
d