mutakhir

Awas, sampah terbang! [METROTV]

Oleh Asmah Rusman dan Husna Alias

SEBANYAK 12 kawasan panas dikenal pasti menjadi tempat kegiatan pembuangan ‘sampah terbang’ yang sangat aktif di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur sejak empat tahun lalu.

Antara kawasan berkenaan seperti Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) 2, Danau Kota, Lorong Haji Taib 2, Lorong Gadek, Lorong Baba dan Lorong Selimang.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, kebanyakan kawasan terbabit adalah kawasan didiami warga asing dan berubah wajah menjadi terlalu kotor sejak beberapa tahun lalu.

“Ada antara kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai lokasi baru kerana sebelum ini, kegiatan berkenaan banyak berlaku di tengah ibu kota, namun selepas warga asing ini berpindah maka lokasi baru pula menjadi tempat pembuangan sampah,” katanya.

Mohd Zain ditemui selepas sesi turun padang pada program ‘Hentikan Sampah Terbang’ bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (SWCorp) Wilayah Persekutuan dan pegawai agensi berkenaan di Lorong Selimang, Taman Tenaga, Cheras, hari ini.

Beliau berkata, selain menjalankan tugas hakiki seperti sapuan jalan dan mencuci longkang di lorong belakang, Alam Flora turut mengambil inisiatif menjalankan tugasan luar skop dengan membersihkan sampah terbang yang tersangkut di tingkap atau bumbung.

“Memandangkan lokasi itu didiami warga asing, pendekatan berbeza haruslah diberikan kepada mereka untuk membantu memahami cara pembuangan sampah betul dan dipraktikkan di Malaysia, bukan seperti negara asal mereka,” katanya.

Dalam operasi pembersihan di lorong berkenaan, kira-kira 900 kilogram sampah berjaya dikutip oleh tujuh pekerja Alam Flora.

Dalam tinjauan itu, beliau turut mengedarkan risalah dalam Bahasa Myanmar, Bangladesh dan Rohingya selain menampal poster serta kain rentang di lorong belakang, tangga masuk dan pusat tong sampah.

Selain itu, pegawai Alam Flora turut mengadakan perjumpaan dengan penyewa, pemilik dan peniaga bagi menerangkan dengan lebih lanjut mengenai amalan menjaga kebersihan dan kesan sekiranya gagal mengamalkannya.

Katanya, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana kerana mencacatkan pemandangan dan mengundang bahaya kepada mereka yang menggunakan laluan terbabit.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 1:36pm
d