mutakhir

Harga daging kekal

Oleh Hassan Omar

PENGGUNA di Alor Gajah tidak perlu bimbang dengan ura-ura kenaikan harga daging lembu dan kerbau kepada RM36 sekilogram (sekg) menjelang Aidiladha, sebaliknya ia kekal RM34 sekg seperti pada Aidilfitri lalu.

Walaupun kesepakatan pengekalan harga itu dibuat penternak lembu dan kerbau tanpa berlandaskan mana-mana persatuan, ia dijangka kekal demi kepentingan pengguna dan penternak.

Penternak lembu dan kerbau di Kampung Ayer Hitam Darat Masjid Tanah, Mohd Raja Sainal, 43, berkata, ada beberapa pelanggan tetap bertanya mengenai kesahihan ura-ura itu.

"Ramai pelanggan bertanya apakah benar harga daging lembu dan kerbau akan naik kepada RM36 sekg menjelang Aidiladha pada hujung bulan ini?

"Boleh dikatakan semua penternak di daerah ini tidak akan menaikkan harga daging lembu dan kerbau seperti yang kami jual pada Aidilfitri lalu," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, penternak tidak akan menurunkan harga itu kerana ia disifatkan munasabah, berbanding kos makanan haiwan, termasuk kos penternakan lain seperti alat ganti kenderaan untuk mengangkut lembu dan kerbau.

Mohd Raja yang memiliki kira-kira 40 ekor lembu dan 20 kerbau sering menyembelih haiwan itu untuk dijual kepada peniaga daging di beberapa pasar sekitar Alor Gajah.

Menjelang sambutan Aidilfitri dan Aidiladha, dia menjual sendiri daging lembu dan kerbau di beberapa lokasi, terutama di persimpangan pekan kecil Tanjung Kling-Pantai Puteri.

"Setakat ini belum ada penternak mengambil keputusan menjual daging melebihi harga biasa kerana jika bilangan mereka yang ingin berbuat demikian tidak ramai, mereka akan kerugian kerana pelanggan cenderung membeli daging pada harga lebih rendah.

"Sehubungan itu, saya dan penternak lain lebih menumpukan kepada usaha menambah berat lembu dan kerbau masing-masing bagi memastikan ia membawa pulangan lumayan menjelang Aidiladha yang dijangka disambut pada 22 Ogos ini," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 2:37pm
d