mutakhir

Wanita pendusta dicekup

Oleh Shahrinnahar Latib

POLIS menahan wanita berusia 30-an yang dipercayai cuba menipu peneroka dengan menawarkan urusan pembinaan rumah kos rendah di lot asal tanah rancangan yang tidak wujud di FELDA Jengka 8 di Maran, bulan lalu.

Wanita itu ditahan di perkarangan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, jam 6 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian 22 Julai lalu, mangsa berusia 72 tahun didatangi suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat pemaju perumahan di bawah Jabatan Perumahan Negara.

“Suspek menawarkan seunit rumah dengan kadar bayaran murah dan boleh siap cepat. Mangsa bersetuju dan rumah itu akan dibina di belakang rumahnya.

“Suspek meminta wang pendahuluan RM100 untuk tanda persetujuan kedua-dua pihak dan menyatakan dia akan kembali untuk membawa dokumen selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek datang semula ke rumah mangsa pada 25 Julai lalu dan membawa butiran dokumen untuk meneruskan proses pembinaan rumah berkenaan.

“Suspek sekali lagi meminta mangsa wang RM300 untuk proses selanjutnya. Kemudian mangsa membawa suspek ke pejabat FELDA Jengka 8 untuk membuat pengesahan.

“Ketika disoal siasat pegawai FELDA, suspek tidak dapat menjawab pertanyaannya sebelum mangsa membuat laporan polis di IPD Maran kelmarin selepas menyedari ditipu,” katanya.

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek adalah menawarkan urusan pembinaan rumah kos rendah di tanah lot asal FELDA yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang kepadanya.

“Suspek kini ditahan di IPD Maran untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 4:29pm
d