mutakhir

Malindo Air luaskan sayap ke Labuan

Suhaila Shahrul Annuar

SYARIKAT penerbangan Malindo Air melancarkan penerbangan pertamanya ke Labuan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata, istimewanya penerbangan OD1900 laluan Kuala Lumpur-Labuan itu akan beroperasi setiap hari dan ia membenarkan polisi produk makanan laut sejuk beku dari Labuan didaftar masuk sebagai bagasi.

“Kami menyediakan perkhidmatan itu dengan bayaran RM20 bagi setiap 25 kilogram (kg) makanan laut sejuk beku yang dibungkus kemas dan diletakkan dalam kotak khas disediakan Malindo Air.

“Jadi orang ramai boleh membawa produk makanan laut sejuk beku berkualiti tinggi dari Labuan.

“Setakat ini, Malindo Air menawarkan penerbangan ke 16 negara membabitkan 35 lokasi, jadi kita akan mempromosikan Labuan di kawasan perkhidmatan kita terutama Singapura dan Asia Tenggara,” katanya pada sidang media, hari ini.

Majlis pelancaran penerbangan pertama Malindo Air dari KLIA ke Labuan disempurnakan Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad.

Sementara itu, Khalid berkata, inisiatif Malindo Air membenarkan polisi produk makanan laut sejuk beku dari Labuan didaftar masuk sebagai bagasi akan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi kawasan berkenaan.

Beliau berkata, usaha itu akan dapat merancakkan semula pertumbuhan ekonomi Labuan khususnya industri makanan laut sejuk beku, sekali gus meningkatkan semula pendapatan nelayan tempatan dalam memasarkan hasil tangkapan laut mereka.

“Kementerian Wilayah sedang berusaha mengukuhkan sektor pelancongan sebagai sumber ekonomi utama Labuan bagi menjadikannya sebagai pulau bebas cukai kompetitif.

“Kami mahu rancakkan kembali ekonomi di kawasan itu apabila mungkin dahulunya ada kesilapan dari segi pelaksanaan dan perancangan yang membuatkan kegiatan ekonominya agak perlahan ketika ini.

“Potensi semula jadinya perlu dipertingkatkan seperti membangunkan industri perikanan dengan penggunaan teknologi dan peralatan lebih canggih serta efisien.

“Kami ada hantar pasukan ke sana untuk membuat kajian dan akan mengemukakan cadangan bidang yang boleh dibangunkan di Labuan,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 6:06pm
d