mutakhir

[UPDATE] Suami gagal hubungi mangsa...

Oleh Harun Yahya

KEGAGALAN seorang penjawat awam masuk bertugas di sebuah agensi Kerajaan Persekutuan di Sibu, tengah hari hari ini terjawab apabila wanita itu ditemui mati dengan keadaan tangan dan kakinya terikat.

Difahamkan, mayat mangsa, 26, ditemui oleh rakan setugasnya jam 3.45 petang selepas diminta oleh suami wanita itu yang bertugas di Tatau, Bintulu untuk memeriksa keadaan isterinya.

Sumber memberitahu NSTP, mangsa yang tinggal berseorangan di bilik sewanya di Jalan Tiong Hua, Sibu gagal dihubungi oleh suaminya sejak malam semalam, malah panggilan ke telefon bimbitnya juga tidak dijawab.

“Berikutan itu, rakan setugas mangsa bergegas ke bilik sewanya dan terkejut apabila mendapati wanita berkenaan dalam keadaan tidak bernyawa.

“Lebih menyedihkan, kedua-dua tangan dan kakinya juga terikat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, motif sebenar kejadian sedang disiasat.

“Barang berharga milik mangsa seperti telefon bimbit dan barang kemas tidak terusik,” katanya.

Katanya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada tubuh mangsa.

Mayat dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.

Berita berkaitan

Kejam, mayat wanita diikat kaki, tangan

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 8:16pm
d