mutakhir

Dipujuk BF, masalah rumah tangga...?

Oleh Hamzah Osman

LAPAN wanita antara 106 penagih dadah yang ditahan dalam Ops Sarang di Langkawi sejak dua hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah Superintendan Helmi Aris berkata semua wanita berusia antara 23 hingga 35 tahun terbabit mengaku baharu mengambil dadah.

“Mereka (wanita) adalah penagih baharu dan warga tempatan ditahan di beberapa sarang penagihan khususnya di Kampung Bukit Malut dan Taman Nilam.

“Ada antara mereka mengaku termakan pujukan teman lelaki dan berhadapan masalah keruntuhan rumah tangga sebelum terjebak dalam masalah penagihan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim dan Timbalannya Deputi Superintendan Rosszemi Mat Derus.

Katanya, operasi itu membabitkan 160 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Langkawi dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Keseluruhannya, seramai 106 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dengan 85 daripadanya adalah penagih berulang, manakala 21 adalah penagih baharu.

“Lima individu dpercayai pengedar dadah turut ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Katanya, polis juga merampas dadah jenis heroin seberat 161.3 gram (g), syabu (28.51 g), ganja (14.64 g), daun ketum (986.19 g) dan tiga liter air ketum.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 8:42pm
d