mutakhir

Hanya tugas di PKKR ditamatkan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

JABATAN Sukarelawan Malaysia (RELA) menjelaskan penamatan penugasan di Pusat-Pusat Khidmat Komuniti RELA (PKKR) di seluruh negara dibuat selepas penilaian semula dilakukan terhadap semua penugasan jabatan yang dilaksanakan pada pertengahan tahun.

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, RELA berkata, penilaian yang dibuat itu merangkumi aspek keperluan penugasan dan kedudukan kewangan semasa jabatan.

Menurutnya, penugasan rondaan keselamatan itu sudah diwujudkan sejak Januari 2017 untuk membantu memelihara keselamatan setempat.

“Penugasan itu adalah tugasan rondaan dan ia bersifat sementara yang dilaksanakan di 98 PKKR seluruh negara membabitkan seramai 294 anggota yang dibayar elaun bertugas.

“Bermula Januari lalu, jabatan sudah melaksanakan rondaan keselamatan secara sukarela di 157 daerah seluruh negara. Rondaan secara sukarela ini selaras dengan hasrat jabatan untuk menghidupkan semula semangat kesukarelaan dalam kalangan anggota-anggota RELA,” katanya.

Sebelum ini, satu surat berkaitan penamatan penugasan kawalan keselamatan di PKKR tular di media sosial.

Menerusi surat bertarikh 30 Julai itu, penamatan khidmat itu berkuatkuasa 1 September ini.

Dalam pada itu, RELA turut menjelaskan, surat berkenaan hanya berkaitan penamatan tugasan di PKKR dan bukannya membabitkan pemotongan elaun kepada semua ahli RELA.

Bagaimanapun, katanya, penamatan penugasan rondaan PKKR itu tidak membabitkan penugasan-penugasan lain yang masih berjalan seperti biasa.

“Ia juga tidak menjejaskan operasi PKKR dan akan terus beroperasi seperti sedia kala,” katanya.

PKKR di wujudkan sebagai pusat kegiatan aktiviti RELA selain turut menyediakan khidmat komuniti kepada masyarakat setempat.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 9:04pm
d