mutakhir

'Abang long kawasan' tunjuk pistol

Oleh Hasbi Sidek

SEORANG pegawai penguat kuasa di jabatan kerajaan menunjukkan objek menyerupai pistol di tempat awam terhadap seorang pekerja panggung wayang di pusat beli-belah di Damansara Utama, Petang Jaya, petang kelmarin.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, lelaki berusia 48 itu mengaku dia sebagai ‘abang long kawasan’ dan berang apabila rakannya tidak dibenarkan masuk ke panggung wayang lebih awal dari waktu.

Berikutan itu, lelaki terbabit bertindak menunjukkan objek berkenaan yang terselit di pinggangnya.

Bagaimanapun, samseng berkenaan ditahan polis di Jalan SS 20/4, Damansara Utama, pada 4.15 pagi semalam dan polis turut merampas sepucuk pistol bersama satu kelopak peluru mengandungi tujuh peluru.

Sumber berkata, sebelum kejadian, seorang lelaki mahu masuk ke panggung wayang lebih awal, namun kakitangan premis itu tidak membenarkan lelaki itu.

Beliau berkata, tidak lama kemudian datang seorang lelaki bersama seorang wanita yang bertindak agresif memukul muka kakitangan panggung wayang terbabit.

“Pergaduhan dileraikan pengurus panggung wayang dengan bantuan seorang lagi pekerja lelaki.

“Tidak lama kemudian datang lagi seorang lelaki dan mengaku dia sebagai samseng di kawasan berkenaan sebelum secara tiba-tiba memanggil mangsa dan menunjukkan objek menyerupai pistol kepada pekerja di panggung wayang dan pelanggan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya menahan lelaki terbabit awal pagi semalam dan merampas sepucuk pistol jenis Glock bersama satu kelopak berisi tujuh peluru.

Katanya, turut dirampas satu beg mengandungi satu kelopak berisi 13 peluru, pakaian suspek dan kenderaan digunakan untuk tujuan siasatan.

“Suspek mengaku bekerja sebagai pegawai penguat kuasa di jabatan kerajaan dan kini dipinjamkan ke jabatan lain.

“Bagaimanapun, dia tidak mengaku menunjukkan pistol di kawasan awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan kejadian itu dan penahanan suspek berkenaan.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis jam 7 malam tadi. Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan kerana ancaman jenayah serta mendatangkan kecederaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 9:37pm
d