mutakhir

Orang UMNO, PAS diminta undi Mohd Zawawi

Oleh Dawn Chan

PENASIHAT DAP Lim Kit Siang meminta pengundi UMNO dan PAS di Sungai Kandis supaya memilih calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada Sabtu ini bagi membolehkan kerajaan meneruskan usaha membanteras rasuah.

Beliau berkata, ia berikutan selepas 80 hari kerajaan bertukar tangan, semua pihak terutama penyokong UMNO berpeluang untuk mengetahui korupsi yang menyelubungi isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya berharap penyokong dan pengundi PAS akan menyokong Mohd Zawawi. Orang UMNO pun boleh juga menyokong Mohd Zawawi.

“Ini kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, mereka tidak tahu atau tidak percaya skandal 1MDB adalah benar dan sebenarnya memang ada salah guna kuasa serta korupsi.

“Tetapi kini, 80 hari selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, mereka berpeluang untuk mengetahui mengenai korupsi membabitkan 1MDB sebenarnya lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertemu orang ramai menerusi program Kopitiam Talk di Restoran Rubi di Bukit Naga, Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Mohd Zawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara Ng Sze Han dan ADUN Kota Kemuning V Ganabatirau.

Kit Siang yang menyatakan Mohd Zawawi mendapat sokongan 100 peratus daripada DAP, berkata, calon PKR itu bukan saja calon pertama kali yang akan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, tetapi juga akan memperolehi jumlah majoriti lebih besar berbanding pada PRU-14.

“Dalam tempoh dua hari kita akan memperoleh wakil rakyat baharu. Seluruh negara akan menunggu keputusan pada Sabtu ini.

“Kerajaan tidak akan jatuh kerana kerusi (DUN Sungai Kandis) ini, namun ia adalah penting. Ia akan memberi isyarat bahawa kerajaan PH di peringkat negeri dan Persekutuan, mampu meneruskan usaha tanpa halangan.

“Kita perlu memberikan mesej jelas kepada UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Najib (Datuk Seri Najib Razak) bahawa rakyat berada di belakang PH di peringkat Persekutuan dan negeri untuk terus membuat perubahan dan membina Malaysia baharu,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak mahu UMNO, MCA, BN dan PAS mendapat sebarang peluang daripada keputusan PRK ini untuk mengatakan sokongan terhadap PH sudah berkurangan dan rakyat menyesali apa yang berlaku pada 9 Mei lalu.

“Perlu ada lebih banyak sokongan supaya kita boleh maju ke hadapan untuk memberi perubahan dan harapan bagi lima tahun lagi,” katanya.

Mohd Zawawi akan bertanding menentang calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K Murthy.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pengundi di Sungai Kandis akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 4 Ogos ini.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 10:18pm
d