mutakhir

Xplore X7 tahan 10 hari

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Hashini Kavishtri Kannan

Cyberjaya: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan telefon satelit pintar dengan sistem pengoperasian Android pertama di dunia, Xplore X7.

Telefon yang dibangunkan syarikat Malaysia, AdvanceTC Group Sdn Bhd itu mempunyai kemampuan liputan 4G di 98 peratus kawasan di seluruh dunia, khidmat pesanan ringkas satelit, butang kecemasan dan bateri berprestasi tinggi yang mampu bertahan sehingga 10 hari.

Dr Wan Azizah berkata, beliau bangga dengan kemampuan syarikat Malaysia menghasilkan produk telefon satelit pintar yang berkemampuan digunakan di kawasan pendalaman, terpencil dan terbatas kepada liputan rangkaian selular.

“Saya ucapkan tahniah di atas inovasi baru dan penghasilan produk tempatan dalam teknologi komunikasi ini.

“Saya berharap ia akan menjadi peneraju perubahan dalam pembangunan produk tempatan. Semoga produk ini mendapat sambutan di peringkat global,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Xplore X7 di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC ) di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Md Ramli, Pengerusi Eksekutif AdvanceTC Group Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ghiti Mohd Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif AdvanceTC Limited, CP Loi.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyaksikan majlis menandatangani MoU antara AdvanceTC Group dengan rakan kerjasama dari Hong Kong dan Indonesia.

Selain itu, Dr Wan Azizah berkata, pihak industri, institusi pendidikan dan kerajaan perlu bekerjasama membangunkan inovasi bagi mendorong perkembangan ekonomi negara.

Beliau berkata, pihak berkaitan boleh menggunakan pendekatan model Ttriple Helix dalam pembangunan inovasi.

“Kerjasama ini akan membantu industri menyalurkan pengetahuan dalam bidang akademik.

“Kerajaan pula berperanan mewujudkan iklim yang kondusif untuk menyokong kerjasama antara industri dan istitusi pendidikan.

“Ia termasuk memperuntukkan geran penyelidikan dan mewujudkan ekosistem kondusif untuk inovasi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga akan mewujudkan dasar dan peraturan yang melindungi harta intelek serta mentakrifkan bidang keutamaan dalam kajian dan pembangunan (R&D).

Sementara itu Ahmad Ghiti berkata, pihaknya menyasarkan produk Xplore X7 sebagai telefon satelit mampu milik dengan kadar harga yang mampu bersaing dalam kategori telefon pintar kelas sederhana dan tinggi.

“Sasaran pasaran bagi telefon ini adalah pengguna yang suka melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, meredah hutan, aktiviti rekreasi di laut dan mengembara ke kawasan terpencil dan sukar mendapat liputan rangkaian bagi telefon biasa.

“Kita menjangkakan telefon yang dihubungkan menerusi rangkaian satelit Iridium ini akan berada di pasaran tempatan dalam tempoh dua bulan lagi dan harga pasaran akan diumumkan kemudian,” katanya yang turut memaklumkan, pihaknya merancang mengeluarkan satu lagi model telefon pada penghujung tahun ini.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 10:55am
d