mutakhir

Tiada lagi tawa tangis Echa

Oleh Norasikin Daineh

“SUDAH empat tahun Echa terlantar dan kadang-kala kami terpaksa ikat perut semata-mata mahu membawanya ke hospital."

Demikian luah Nurul Lia Hamat Hassan, 30, ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang menghidap 'congenital hydrocephalus' (lebihan cecair otak sejak lahir) dan sawan.

Nurul Lia berkata, anaknya Nur Emylyiana Atesyah A Halim atau dipanggil Echa dilahirkan normal, namun dikesan menghidap penyakit itu sejak berusia empat bulan dan sehingga kini sudah menjalani sembilan kali pembedahan.

"Echa kini hanya terlantar dan air di kepala semakin banyak menyebabkan otaknya semakin mengecil, manakala kepalanya membesar," katanya kepada NSTP.

Nurul Lia yang tinggal di Kampung Sangkabok di Menumbok, Kuala Penyu berkata, anak bongsunya itu sering diserang sawan menyebabkan mereka terpaksa membawa ke hospital, selain dirujuk ke hospital untuk menukar hos minum setiap dua minggu sekali.

"Selain ke Hospital Kuala Penyu, Echa perlu jalani rawatan melalui temujanji di Hospital Nukleus Labuan dan dia kini di bawah pengawasan doktor yang menjaga pesakit yang tiada ubat dan tiada harapan lagi," katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia dan suami membawa Echa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, namun disebabkan kos untuk ke hospital itu terlalu tinggi, mereka bertukar ke Hospital Nukleus Labuan.

"Pada Januari lalu, kami dapat tukar Echa ke hospital di Labuan dan memerlukan kira-kira RM100 setiap kali membawanya untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki feri atau bot laju," kata suri rumah itu.

Tambah Nurul Lia, pendapatan tidak menentu suaminya yang bekerja sebagai nelayan menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan bantuan pelbagai pihak, apa lagi dia mempunyai tiga lagi anak yang masih bersekolah.

"Perbelanjaan Echa pula mencecah lebih RM500 sebulan termasuk lampin pakai buang, susu dan kini dia memerlukan tilam khas bernilai RM400 dan katil khas," katanya.

Walaupun seperti tiada harapan untuk anaknya itu sembuh, Nurul Lia tetap berusaha untuk mendapatkan rawatan yang terbaik untuk anaknya di hospital.

"Echa kini tidak boleh beri respon kepada kami dan dia cuma boleh melihat kami apabila dipanggil... tiada sudah ketawa atau tangisan sejak dia berusia tiga tahun," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke Agro Bank milik Nurul Lia menerusi nombor akaun, 2-00-6892-00003246-4.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 11:15am
d