mutakhir

Di manakah Philip Uja?

Oleh Harun Yahya

POLIS memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita, di Jalan Tiong Hua, di Sibu, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata lelaki berasal dari Kanowit itu dikenal pasti sebagai Philip Uja, berusia awal 40-an.

Beliau berkata, kali terakhir lelaki itu dilihat oleh seorang jiran mangsa berada di kawasan rumah sewa mangsa pada malam sebelum mangsa ditemui mati.

“Difahamkan mangsa mengenali lelaki itu, namun polis belum mengenalpasti apa hubungan lelaki itu dengan mangsa, cuma yang pasti mereka memang pernah berkenalan.

“Sebelum ini mangsa juga pernah mengadu kepada rakan sekerjanya bahawa lelaki itu pernah mengganggunya,” katanya pada sidang media di Balai Polis Sentral, di Sibu, hari ini.

Stanley berkata, pada malam kejadian, salah seorang jiran yang tinggal di tingkat atas rumah sewa itu ada terdengar jeritan wanita kira-kira jam 8 malam tetapi dia tidak memeriksanya lanjut.

Sehubungan itu, beliau meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu supaya menghubungi Balai Polis Sentral Sibu di talian 084-336144.

Mengenai spekulasi yang tersebar di laman sosial yang mendakwa mangsa dirogol sebelum dibunuh, Stanley berkata, ia tidak dapat disahkan kerana hasil bedah siasat belum diperolehi.

Mayat mangsa, Nurnia Azalea Priscila Edward, 26, ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kaki dan tangannya diikat ke belakang, manakala kepalanya ditutup dengan kain dan tudung, petang semalam.

Mangsa yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara di UTC Sibu tinggal sendirian di bilik sewa di sebuah rumah di Jalan Tiong Hua itu, manakala suaminya pula bertugas di Tatau, Bintulu.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 3:50pm
d