mutakhir

Didakwa kurung rakan senegara

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

EMPAT lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini, atas tuduhan melarikan seorang lelaki yang juga rakan senegara mereka dengan tujuan mengurung mangsa, bulan lalu.

Shahidul Rahman, 40; Sagor, 33; Mainil Biswas, 34; dan Ziaur Rahman, 29, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melarikan secara paksa Mohamad Al Amin Shikdar, dengan niat mengurung mangsa di Lot 639, Lorong Tasek Permai 19, Kampung Tasek Permai, di Ampang, antara jam 6 petang hingga 7 malam, pada 14 Julai lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak tidak menawarkan sebarang jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 4:56pm
d