mutakhir

Lima hari bicara kes Farid Kamil [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya, hari ini menetapkan lima hari bermula 27 November depan untuk perbicaraan pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari yang menghadapi lima pertuduhan jenayah, Januari lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya bagi prosiding pengurusan kes.

Tarikh perbicaraan lain adalah 6 Disember dan 12 hingga 14 Disember depan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris memaklumkan mahkamah pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya tujuh saksi.

Selain itu, mahkamah juga mengekalkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes dihadapi pelakon itu.

Pada 16 Januari lalu, Farid berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, kira-kira jam 1.20 tengah hari, 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 4.30 petang.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 5:47pm
d