mutakhir

PKR mungkin tanding DUN Seri Setia

Oleh Wartawan NSTP

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PKR mungkin meletakkan calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, parti yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu kebiasaannya akan diberi peluang bertanding dalam PRK berkenaan.

“Kita (Pakatan Harapan) setakat ini belum lagi berbincang mengenainya (calon).

“Kebiasaannya, parti yang menang kerusi itu (PKR) akan dapat peluang untuk bertanding semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Ceramah Grand Finale PRK DUN Sungai Kandis di Taman Sri Andalas di Klang, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar.

Dalam pada itu, ketika ditanya ketiadaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program berkenaan, Wan Azizah berkata, suaminya itu tidak sihat.

Beliau turut meminta semua pengundi DUN Sungai Kandis keluar mengundi PKR bagi memastikan kemenangan besar parti itu, hari ini.

Kerusi DUN Seri Setia kosong apabila wakil rakyatnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia lewat petang kelmarin selepas menderita barah usus.

DUN Seri Setia adalah PRK ketiga di Selangor selepas Sungai Kandis dan Balakong yang akan diadakan masing-masing esok dan 8 September nanti.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 12:53am
d