mutakhir

Tekukur makan RM4 sehari

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: “Makanan ruji burung tekukur dan merbuk saya lebih mahal daripada belanja seharian makanan saya,” kata Abdul Malek Alias, 64.

Menurutnya, dia makan nasi dengan beras harga RM2.50 sekilogram (kg) sedangkan burung tekukur dan merbuk peliharaannya makan kambu (bijirin) harga RM4 kg.

“Saya adalah tuannya tetapi ia (burung) makan makanan lebih mahal daripada saya,” katanya.

Bagaimanapun, demi minat dan cinta terhadap kedua-dua jenis burung itu, Abdul Malek sanggup berbelanja lebih membeli bahan makanan yang seakan-akan bijan itu daripada sekadar memberikan makanan biasa seperti padi.

Bagi petani di Kampung Lekok, Masjid Tanah di sini, tiada apa yang mampu menghalangnya daripada membelanjakan RM40 untuk mendapatkan kambu seberat 10kg yang diimport dari negara Thailand semata-mata untuk memastikan lapan tekukur dan lima merbuk peliharaannya sentiasa kenyang.

“Kambu 10kg itu mampu menampung makanan 13 burung saya selama tiga bulan. Ia tidak makan beras, nasi atau gandum.

“Cuma kambu dan padi yang boleh dimakan tetapi sekarang sukar mendapatkan padi kerana kebanyakan sawah bertukar menjadi taman perumahan.

“Jika tiada kambu, saya amat bimbang burung peliharaan jatuh sakit kerana enggan makan beras atau jagung yang diberikan,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 4:45am
d