mutakhir

Tragedi papan tanda

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PILU hati seorang anak melihat ayahnya maut di depan mata selepas motosikal dinaiki merempuh papan tanda di Jalan Rumah Panjang Garing, di Kanowit, petang semalam.

Kemalangan jam 2.05 petang itu menyebabkan Julin Limbang, 51, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Anak lelakinya berusia 12 tahun patah jari kaki dan cedera pada buku lali.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati dua beranak itu dalam perjalanan dari Julau menuju ke Rumah Panjang Ramau Sungai Maong.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang Julin tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh papan tanda.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa dan anaknya tercampak.

"Pengguna jalan raya kebetulan melalui kawasan berkenaan memberi bantuan awal sebelum menghubungi polis dan ambulans untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pegawai perubatan dari Hospital Kanowit mengesahkan Julin maut di lokasi kejadian.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kanowit untuk bedah siasat, manakala anaknya menerima rawatan di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa diserahkan kepada keluarga selepas selesai bedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 10:05am
d